Pendekatan mampan libatkan kenderaan perdagangan meningkat -Scania

Pendekatan mampan libatkan kenderaan perdagangan meningkat -Scania

BUKIT MERTAJAM,. Jumlah pengendali kenderaan perdagangan berat mengambil pendekatan mampan meningkat di Malaysia, kata Pengarah Jualan Scania Asia Tenggara (Scania), Tan Soo Liang.

Beliau berkata lebih daripada 200 kenderaan menyertai program usaha kemampanan Scania – ‘Scania Ecolution’, untuk memaksimumkan kecekapan bahan bakar dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Kami mempunyai lebih daripada 20 pelanggan daripada pengendali trak hingga pengendali bas yang mendaftar untuk inisiatif ini sejak tahun 2018. Terdapat lebih ramai pelanggan menyertainya tahun ini dan kami menjangkakan lebih banyak lagi akan turut serta pada masa depan.

“Ini adalah bukti bagaimana pengendali kenderaan perdagangan berat melihat usaha kemampanan selama ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Scania (Malaysia) Sdn Bhd dan Express Seni Budaya (M) Sdn Bhd, atau biasa dikenali sebagai SuperNice.

Perjanjian itu ditandatangani Tan mewakili Scania manakala Express Seni Budaya diwakili Pengarah Urusannya, Chew Kok Yong.

Menerusi MoA itu, SuperNice menjadi perkhidmatan bas ekspres pertama di wilayah utara Semenanjung Malaysia yang mendaftar untuk program Scania Ecolution.

“Perjanjian ini akan membolehkan syarikat SuperNice meraih keuntungan menerusi penggunaan bahan bakar yang lebih rendah dan pada masa yang sama mengurangkan pelepasan karbon bagi memelihara alam sekitar,” kata Tan.

Sementara itu, Chew berkata MoA itu juga akan menumpukan perhatian terhadap pengurangan kos operasi.

“Perjanjian itu akan meningkatkan keuntungan hingga 15 peratus dan memenuhi keperluan inisiatif mesra alam sekitar,” katanya.

Chew berkata penggunaan bahan bakar diharapkan dapat dikurangkan hingga 10 peratus dalam tempoh satu tahun dengan kerjasama tersebut.

SuperNice ketika ini mempunyai 14 buah bas Scania jenis ‘K360IB4x2NB’ yang dilengkapi dengan kotak gear ‘Opticruise’, ia dapat mencapai penjimatan bahan bakar yang ketara berbanding dengan gear manual.

“Semua bas Scania menggunakan Sistem Pengurusan Kenderaan Scania untuk meningkatkan produktiviti kenderaan dan kami akan menggunakan Perkhidmatan Pemandu Scania untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan memandu,” kata Chew.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This