Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMT berazam perjuang isu alam sekitar

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMT berazam perjuang isu alam sekitar

KUALA NERUS,. Dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-18, di sini, berazam untuk melakukan lebih banyak sumbangan terhadap komuniti global dan alam sekitar pada masa akan datang.

Penerima anugerah itu, Mogesh Sababathy, 23, berkata anugerah tersebut menjadi motivasi buat dirinya untuk terus berkongsi pengalaman sebagai mentor dengan junior di UMT dan masyarakat dunia dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar dan lautan.

“Sebagai mahasiswa, terlalu banyak yang perlu kita lakukan untuk menjaga kelestarian alam dan usaha ini perlu dilakukan secara bersama di peringkat antarabangsa yang memerlukan jaringan rangkaian bersama mahasiswa lain di seluruh dunia.

“Semua ini tidak akan tercapai tanpa peluang yang disediakan universiti kerana saya sendiri berpengalaman mewakili UMT dan negara ke enam persidangan antarabangsa seperti ke Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Indonesia.

“Sudah pasti, saya akan membalasnya dengan menabur bakti secara berterusan di UMT dengan pelbagai medium yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen itu semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Marin itu juga adalah finalis Anugerah Belia Komanwel 2021 yang mengasaskan Projek ‘Ocean Hope’ bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu lautan dan pemuliharaan alam sekitar melalui kempen dan latihan kepimpinan belia.

Antara projek komuniti pendidikan yang pernah dilaksanakan Mogesh dan kumpulannya ialah kempen tidak membuang sampah di lautan, tangkapan ikan yang tidak lestari dan siri webinar celik lautan mengenai pengurusan sisa buangan.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Siti Diana Kamila Nadim, 24, yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) berkata, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia atau petua tertentu untuk meraih kejayaan itu.

“Saya adalah seorang yang sangat berfikiran positif, santai dan periang serta mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan serta pensyarah kerana mereka yang paling banyak membantu sepanjang tempoh pengajian di UMT.

“Paling penting, lakukan apa sahaja dengan penuh keikhlasan dan pastikan kita mempunyai minat mendalam untuk meneroka lebih jauh dalam bidang tersebut kerana hanya dua perkara itu dapat membantu kita lebih fokus dan mempunyai wawasan lebih jauh untuk berjaya,” katanya.

Seramai 2,878 graduan iaitu 52 penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (152 penerima), Ijazah Sarjana Muda (2,559 penerima) dan Diploma (115 penerima) diraikan dalam majlis konvokesyen ke-18 (siri pertama) secara hibrid itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This