Pengkalan Kubor, tak sesak seperti selalu

Pengkalan Kubor, tak sesak seperti selalu

TUMPAT,. Kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubor, di sini masih lagi dikunjungi orang ramai, namun tidak sesak seperti kelaziman pada musim cuti persekolahan.

Situasi itu dipercayai berikutan penularan COVID-19 yang mengundang kebimbangan kepada orang ramai sehingga kerajaan terpaksa mengambil tindakan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Seorang peniaga kasut, Siti Nor Hafizah Amir Mukminin, 20, berkata kedatangan pengunjung ke kawasan bebas cukai itu masih ramai terutama dari luar Kelantan.

“Majoriti pengunjung dari luar Kelantan yang mungkin dalam tempoh bercuti dan pada masa sama mengambil peluang membeli-belah di sini.

“Saya tahu di Kelantan sudah ada kes COVID-19 tapi memandangkan di Tumpat masih ‘bersih’, kebimbangan itu tidak begitu terasa,” katanya.

Bagi peniaga pakaian, Rohani Ismail, 45, jumlah pengunjung dirasakannya agak berkurangan berbanding musim cuti sebelum ini yang boleh dianggap sesak luar biasa.

“Sejak Jumaat lalu, kedatangan pembeli terutama luar dari Kelantan masih ramai tapi tidak sampai ke tahap sesak seperti biasa lebih-lebih lagi hari ini, selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dibuat malam tadi.

“Walaupun menanggung kerugian, kami sebagai peniaga terpaksa akur dengan tindakan kerajaan itu kerana ia adalah untuk kebaikan bersama,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 10 tahun lalu.

Tinjauan dibuat di sekitar kawasan bebas cukai itu menunjukkan ada sesetengah lot kedai dipenuhi pembeli terutama premis makanan dan pakaian mungkin mengambil peluang di hari terakhir membeli-belah sehingga Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa esok.

Pengunjung, Mohd Nor Arfan Abu Bakar, 31, berkata beliau datang ke kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor bagi membeli sedikit barang untuk dibawa balik ke Selangor.

Beliau bekerja di sebuah syarikat swasta, berkata kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor adalah lokasi wajib setiap kali pulang bercuti di rumah mentuanya, di Pasir Puteh, dekat sini.

“Cuma cuti kali ini tidak sesak seperti biasa kerana semua orang elakkan berada di tempat sesak namun bagi saya asalkan diambil langkah keselamatan, ia tiada masalah.

“Selain memakai penutup hidung dan mulut, saya sentiasa membawa sabun dan akan membasuh tangan tiga kali sehari,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This