Pengkomersialan teknologi 5G dijangka jana lebih RM12.7 billion antara 2021 sehingga 2025

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka jana lebih RM12.7 billion antara 2021 sehingga 2025

KUALA LUMPUR,. Tahap kesalinghubungan dalam negara dijangka akan berubah menjelang suku ketiga tahun ini selepas pengkomersialan teknologi generasi kelima (5G) mula dilaksanakan.

Ketika ini 5G bukan sahaja berkisar kepada usaha meningkatkan kelajuan internet dan kesalinghubungan semata-mata, tetapi merupakan pemboleh ubah penting ekonomi negara yang bakal mempengaruhi cara hidup serta perniagaan.

Laporan yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan pelaksanaan teknologi ini dijangka bakal menyumbang kepada ekonomi negara mencecah RM12.7 bilion dalam tempoh 5 tahun mendatang.

“Ia juga mampu mewujudkan lebih 39,000 pekerjaan baharu sepanjang tempoh 2021 hingga 2025,” jelas laporan tersebut.

Menerusi kenyataan media oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada Khamis, sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan pembangunan ekosistem 5G, geran dengan peruntukan RM50 juta disediakan sebagai permulaan.

Malah, bagi menjayakan lonjakan ini, kerjasama dengan pihak swasta terutamanya syarikat telekomunikasi turut melibatkan jumlah pelaburan bernilai RM143 juta.

Setakat ini, lebih 100 kes kegunaan 5G meliputi sektor pertanian, pendidikan, hiburan / media, penjagaan kesihatan, pengilangan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar dan juga pelancongan.

Pada 31 Disember 2019, MCMC telah mengumumkan Laporan Akhir berhubung peruntukan spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih negara bagi jalur spektrum 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz. Menurut laporan itu, MCMC telah mengenal pasti jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz sebagai jalur spektrum rintis untuk pelaksanaan 5G di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan merasmikan Projek Demonstrasi 5G di Langkawi, Kedah pada 19 Januari 2020, diikuti oleh lawatan ke tapak kes-kes kegunaan terpilih pada keesokan hari antaranya 5G Command Centre (5GCC) di bandar Kuah, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi meninjau sendiri perkembangan mutakhir projek-projek terbabit.

Bersempena perasmian ini, MCMC juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia pada 20 Januari yang mengetengahkan barisan penceramah dan panel dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada penggiat industri bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkembangan dan prospek pelaksanaan 5G di Malaysia serta di seluruh dunia. Antara topik-topik yang akan diketengahkan pada persidangan berkenaan termasuk perkongsian pengalaman dan pelaksanaan 5G dari serata dunia.

CATEGORIES
TAGS
Share This