Perodua julang emas ketiga berturut-turut bagi Anugerah Jenama Putra

Perodua julang emas ketiga berturut-turut bagi Anugerah Jenama Putra

KUALA LUMPUR,. Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Bhd (Perodua) meraih emas bagi kategori automotif di majlis Anugerah Jenama Putra 2019 yang berlangsung di sini malam semalam.

Ini sekali gus menjadikan pengeluar kenderaan tersebut sebagai antara jenama automotif pilihan utama Malaysia bagi tahun ketiga berturut-turut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata Perodua jauh lebih daripada sekadar sebuah syarikat kenderaan.

“Daripada pelbagai program yang dianjurkan merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal, kepada inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar, kami ingin menjadi jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama pilihan utama Malaysia berdasarkan wawancara awam, melibatkan lebih 8,000 responden tahun ini.

Ia, yang dianjurkan Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia, merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Acara ini turut disokong Persatuan Digital Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pengkhususan Media.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This