Pesara ATM tubuh rumah anak yatim untuk terus berbakti

Pesara ATM tubuh rumah anak yatim untuk terus berbakti

SHAH ALAM,. Usai menabur jasa mempertahankan negara daripada ancaman komunis dan musuh sekitar tahun 70-an, seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memilih meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dengan menubuhkan rumah anak yatimnya sendiri.

Datuk Ibrahim Osman, 77, yang menyertai ATM pada tahun 1963 dan bersara pada 1979 membangunkan Rumah Amal Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan di atas tanah warisan keluarganya di Kuala Langat, dekat sini pada 2006 demi membela nasib golongan memerlukan.

Semasa berkhidmat sebagai tentera, beliau berpengalaman menjalankan operasi menentang musuh di beberapa lokasi panas antaranya di Kota Tinggi, Johor serta Pulau Sebatik dan Pulau Nunukan di Sabah.

Menceritakan permulaannya ‘beralih angin’ daripada bergelar perwira kepada aktivis masyarakat, Ibrahim berkata sejurus bersara daripada ‘mengangkat senjata’, beliau mula berjinak-jinak menyertai badan kebajikan kerana jiwanya ingin terus berbakti kepada negara.

“Selepas bersara, saya banyak melibatkan diri dengan badan-badan kebajikan untuk membantu individu yang menderita pelbagai jenis penyakit mendapatkan bantuan kewangan demi mengubati penyakit mereka.

Semasa menyertai badan kebajikan itu, saya melihat pelbagai lapisan masyarakat termasuk sahabat-handai serta sanak saudara banyak buat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi mengubati penyakit mereka. Dari situ, tercetusnya idea untuk saya belajar mengumpul dana serta sumbangan sebelum menubuhkan rumah amal berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Walaupun pelbagai jerih perih dilalui dalam menubuhkan rumah kebajikan itu, Ibrahim menyifatkan ia sebagai satu kepuasan kepada dirinya kerana masih boleh terus menabur bakti kepada masyarakat sehingga ke akhir hayat walaupun pernah berkhidmat demi negara dalam ATM pada usia muda.

Tambah beliau, rumah amal itu kini menempatkan seramai 46 anak yatim dari seluruh negara terdiri daripada 20 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan.

Katanya, perbelanjaan operasi rumah tersebut merangkumi makan minum, bil elektrik dan air serta gaji petugas yang dianggarkan mencecah RM20,000 ditanggung sepenuhnya oleh beliau serta hasil sumbangan masyarakat yang bermurah hati.

“Di rumah amal ini, kami amat mementingkan pendidikan. Kami berikan wang saku kepada penghuni yang bersekolah malah kami juga sediakan guru tuisyen untuk mereka mengulang kaji pelajaran selepas waktu sekolah.

“Syukur kerana sejak mula operasi sehingga kini, kira-kira 10 penghuni rumah ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti antaranya Universiti Teknologi Mara dan Universiti Utara Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This