PKP fasa ketiga boleh tamatkan COVID-19 – Noor Hisham Abdullah

PKP fasa ketiga boleh tamatkan COVID-19 – Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA,. Fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan tempoh penting yang berupaya menamatkan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan keyakinan itu bersandarkan kepada perkembangan statistik semasa penularan wabak terbabit.

Sehubungan itu, katanya, kesinambungan kawalan yang menyaksikan kejayaan hingga kes COVID-19 berupaya dikurangkan menerusi PKP fasa pertama dan kedua harus diteruskan pada fasa ketiga.

“JP Morgan sebelum ini jangkakan kita bakal berdepan peningkatan kes mendadak sebanyak 6,300 kes esok, tetapi setakat jam 12 tengah hari tadi, Malaysia hanya mencatat 4,817 kes.

“Esok saya jangkakan jumlah keseluruhan positif COVID-19 adalah kurang daripada 5,000 kes dan ia hasil keberkesanan daripada PKP fasa pertama dan kedua.

“Setakat minggu ke-13, Malaysia masih dalam fasa pemulihan daripada penularan wabak COVID-19, tetapi kita akan terus pantau sebab kes belum berkurangan lagi,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, semalam.

Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha untuk meratakan lagi lengkung kes, bukan hanya oleh Kementerian Kesihatan.

“Jika kita boleh lakukannya, ada kemungkinan kita akan terus mengurangkan kes, bukan hanya meratakan lengkung tapi mungkin menamatkan COVID-19 di negara ini,” katanya.

Hingga hari ini,iaitu semlam hampir separuh daripada 4,817 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini sudah pulih sepenuhnya.

Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 2,276 kes atau 47.23 peratus dibenarkan discaj daripada hospital, dengan terbaru 168 kes semalam.

CATEGORIES
TAGS
Share This