Ratu Bumi Malaysia jangka keluarkan tuala wanita biodegradasi hujung tahun ini

Ratu Bumi Malaysia jangka keluarkan tuala wanita biodegradasi hujung tahun ini

KUALA LUMPUR,. Ratu Bumi Malaysia 2020/2021 yang baru dimahkotakan, Dr Nisha Thayananthan akan mengeluarkan tuala wanita biodegradasi atau mudah urai jenama sendiri menjelang hujung tahun ini.

Doktor perubatan di Hospital Putrajaya itu akan bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) bagi mempromosikan hasratnya melindungi alam sekitar daripada sisa plastik.

“Saya menyaksikan ramai masyarakat kurang bernasib baik menggunakan pakaian kotor sebagai tuala wanita semasa berada di Sarawak. Saya harap tuala wanita mesra alam ini dapat memberikan harapan kepada masyarakat kurang bernasib baik dan Orang Asli di Malaysia untuk mengamalkan kebersihan diri semasa haid,” katanya kepada Bernama.

Dr Nisha berkata demikian dalam program bicarawara Tamil Bernama, Konjum Casual-la Pesalaama yang akan ditayangkan hari ini (11 Oktober) pada jam 7.30 malam di Bernama TV dan platform media sosial agensi berita itu.

Konjum Casual-la Pesalaama adalah satu program terbitan bahagian Digital Media Bernama, menampilkan personaliti muda dan berbakat daripada pelbagai bidang termasuk hiburan, sukan dan pendidikan.

Dr Nisha yang dimahkotakan Ratu Bumi Malaysia pada majlis ringkas, 6 September lepas berkata beliau akan menerajui inisiatif untuk menyumbangkan tuala wanita mudah urai kepada masyarakat kurang bernasib baik dan Orang Asli supaya mereka dapat mengamalkan kebersihan diri yang baik menerusi kempen ‘beli satu, derma satu’.

Ditanya mengenai proses pemilihan Ratu Bumi Malaysia 2020/2021, lulusan perubatan daripada Universiti Malaysia Sarawak itu berkata beliau terpilih dalam kalangan 100 calon yang melalui uji bakat sejak Mac hingga Ogos lepas.

“Gelaran ini diberi berdasarkan pendirian terhadap advokasi saya menarik perhatian orang ramai,” kata ratu cantik itu yang berhasrat menjadi pakar dalam pembedahan plastik.

Model sambilan itu juga mengetepikan cakap-cakap bahawa beliau terlalu terdedah dalam platform media sosial dan menegaskan bahawa komen-komen bersifat kritikan tidak mempengaruhi kehidupannya.

“Kami para doktor menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Kami juga manusia dan ada kehidupan di luar hospital.

“Saya rasakan orang yang mengkritik perlu merasionalkan proses pemikiran mereka kerana kami tetap cekap walaupun berbaju renang atau bikini. Pemakaian tidak menjadikan kami kurang cekap atau tidak profesional,” katanya yang akan bertanding dalam pertandingan Ratu Bumi di Filipina tahun hadapan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This