Ringgit rendah berbanding Dolar AS

Ringgit rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 20 Jan, kata penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1850/1880 berbanding dolar AS daripada 4.1765/1795 pada Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata memandangkan terdapat banyak perbincangan mengenai kenaikan kadar yang lebih awal di Amerika Syarikat (AS), perhatian akan diberikan kepada penilaian terkini MPC BNM mengenai keadaan ekonomi semasa, terutamanya kadar inflasi yang meningkat dan maknanya dari segi Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata potensi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China yang lembap pada suku keempat 2021 boleh membantu dolar AS meningkat semula dan memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

“Bagaimanapun, harga minyak mentah Brent yang meningkat dan data jualan runcit AS yang rendah dijangka mengekalkan indeks dolar AS di bawah paras 96.0,” katanya dalam nota penyelidikan.

Di peringkat tempatan, firma penyelidikan itu berkata jika BNM memberikan penilaian ekonomi yang positif, ringgit dijangka mengukuh dan diniagakan pada sekitar paras 4.17.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1032/1057 daripada 3.1045/1070 pada Jumaat dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6598/6628 daripada 3.6675/6704.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.7201/7242 daripada 5.7339/7380 dan naik berbanding euro kepada 4.7734/7768 daripada 4.7846/7880.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This