Bursa renda pada awal dagangan

Bursa renda pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan dagangan yang lemah pada Isnin berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Pada 9.35 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.90 mata kepada 1,552.43 daripada 1,555.33 pada Jumaat.

Indeks dibuka rendah 1.53 mata kepada 1,553.80.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 317 berbanding 194 manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,413 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 539.83 juta unit bernilai RM296.93 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd, dalam nota penyelidikan percaya saham teknologi dijangka mencatatkan peningkatan semula teknikal sekurang-kurangnya dalam masa terdekat, berdasarkan peningkatan semula yang sederhana di Nasdaq pada Jumaat lalu.

Katanya pelabur turut dijangka memberi tumpuan kepada data ekonomi China seperti pertumbuhan ekonomi suku keempat 2021 dan kadar pengangguran, yang akan dikeluarkan hari ini, selain keputusan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia pada minggu ini.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah merosot di bawah RM5,000 manakala harga minyak mentah terus berada pada aliran meningkat.

“Berdasarkan harga minyak mentah Brent telah melepasi paras AS$86, kami menjangka saham minyak dan gas akan diniagakan tinggi dalam masa terdekat.

“Pelabur dijangka memberi tumpuan kepada kaunter perbankan menjelang keputusan mengenai kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia pada minggu ini,” demikian mengikut Malacca Securities.

Daripada saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB, masing-masing menambah satu sen kepada RM4.21 dan RM5.55, TNB naik tiga sen kepada RM9.07 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM8.44, Petronas Chemicals berkurangan tiga sen kepada RM9.06 dan IHH Healthcare susut empat sen kepada RM6.54.

Daripada saham aktif, Kanger International menambah setengah sen kepada 2.5 sen, Avillion tidak berubah pada 10.5 sen manakala SMTrack berkurangan dua sen kepada 27 sen, AirAsia merosot 2.5 sen kepada 59.5 sen dan MQ Technology susut setengah sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 19.0 mata kepada 11,159.52, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 24.90 mata kepada 11,855.91, FBM 70 susut 16.97 mata kepada 13,835.60, Indeks FBMT 100 turun 18.70 mata kepada 10,866.95 dan FBM ACE merosot 34.27 mata kepada 6,245.36.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.53 mata kepada 202.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 15.27 mata kepada 16,136.81 dan Indeks Perladangan susut 26.29 mata kepada 6,735.26.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This