Ringgit teruskan momentum kenaikan

Ringgit teruskan momentum kenaikan

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini, didorong sentimen pasaran yang lebih memberangsangkan terhadap mata wang tempatan.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara semalam.

Bagaimanapun, pergerakan meningkat ringgit itu telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang mengalami penyusutan.

Pada 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.2700/2770 berbanding dolar AS daripada 4.2710/2770 ketika ditutup semalam.

Semalam, Tengku Zafrul berkata dedahan Malaysia terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad memandangkan 97 hingga 98 peratus hutang negara adalah hutang dalam negara.

Semasa membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, beliau berkata tahap hutang negara mungkin mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir 2020 daripada 52 peratus ketika ini.

Ia berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

Sementara itu, mengenai penurunan harga minyak mentah global yang mengehadkan kenaikan ringgit, peniaga berkata peserta pasaran dijangka menyaksikan inventori minyak mentah meningkat lagi, sekali gus memberi tekanan ke atas harga.

Justeru, dagangan minyak mentah Brent susut 0.20 peratus kepada AS$40.29 setong dan minyak mentah WTI turun 0.09 peratus kepada AS$42.59 setong.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0805 daripada 3.0671/0723 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0064/0141 daripada 3.9875/9942.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3503/3595 daripada 5.3165/3261 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.8319/8416 daripada 4.8203/8283.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This