RM1.8 juta baik pulih 152 rumah nelayan Beluran

RM1.8 juta baik pulih 152 rumah nelayan Beluran

SANDAKAN,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM1.8 juta bagi membaikpulih 152 rumah nelayan di daerah Beluran.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) adalah untuk membantu golongan nelayan bagi membaikpulih dan membina rumah baharu.

“Projek itu juga adalah untuk mewujudkan penempatan semula nelayan yang lengkap dengan prasarana asas supaya masyarakat nelayan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM9,048,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan baik pulih rumah nelayan di Negeri Sabah melibatkan 716 nelayan yang mendapat faedah.

“Jumlah peruntukan untuk membaikpulih sebanyak RM12,000 (maksimum) bergantung kepada nilai kerosakan rumah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dua hari ke daerah Beluran dan Sandakan.

Beliau telah mengadakan lawatan ke Jeti Pendaratan Ikan dan Kilang Pemprosesan Widegrowth di Bandar Leila, Sandakan dan ke tapak cadangan pembinaan Kompleks LKIM di Tanah Merah, di sini.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran memberitahu sejumlah RM1,800,000 telah diperuntukkan untuk membaikpulih 150 rumah nelayan secara gotong-royong di Beluran.

“48 buah rumah telah siap sepenuhnya (hampir 50 peratus) dibaik pulih dan pelaksanaan ini akan diteruskan kepada 102 buah rumah lagi dan dipercepatkan kerja pembaikan supaya nelayan dapat menikmati bantuan ini,” katanya.

Beliau memberitahu telah melawat sebuah rumah nelayan yang selesai dibaik pulih secara gotong royong di Kampung Keramat, Beluran, pada Sabtu.

Peserta Jumi Salleh telah menerima bantuan baik pulih sejumlah RM12,000 untuk membaik pulih komponen atap, dinding dan lantai rumah yang telah rosak secara gotong royong yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Persatuan Nelayan Kawasan Beluran.

–Utusan BORNEO

CATEGORIES
TAGS
Share This