Sarawak kekalkan tarif elektrik – Abang Johari

Sarawak kekalkan tarif elektrik – Abang Johari

KUCHING,. Kerajaan Sarawak tidak bercadang untuk menaikkan tarif elektrik memandangkan negeri mampu untuk menjana tenaga menerusi empangan hidroelektrik, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, peningkatan tarif elektrik antara lain hanya akan mengakibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini terjejas.

“Sarawak mempunyai kekuatan dari segi tenaga elektrik, selain itu tarif (elektrik) kita pun tidak tinggi dan masih (menggunakan) harga lama. Kalau harga elektrik tinggi, pelabur tidak akan masuk dan kontraktor pun akan mengalami kesusahan untuk membayar bil elektrik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sarawak kali ke-24, di sini, pada Jumaat.

Abang Johari berkata, penambahan projek empangan hidroelektrik di Sarawak yang kini dalam proses pembinaan seperti Empangan Trusan di Lawas dan Empangan Baleh di Kapit akan meningkatkan sumber tenaga elektrik di negeri ini.

Pada Jumaat, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik susulan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis, 2023, di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Beliau berkata, ia merangkumi 99 peratus daripada pengguna domestik, di Semenanjung Malaysia.

Pada Feb lepas, Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri bersetuju melanjutkan diskaun bil elektrik, melibatkan pengguna domestik, komersial dan industri menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebanyak lima hingga 25 peratus sehingga bulan ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This