Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah, miliki majoriti

Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah, miliki majoriti

KOTA KINABALU,. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah selepas masih mendapat majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketika ditemui pemberita di kediaman rasminya, Mohd Shafie berkata segala kemelut politik yang berlaku hari ini (Rabu) dan intipati mesyuarat tertutup malam ini akan diumumkan esok (Khamis).

“Saya masih ketua menteri (Sabah) dan masih memiliki majoriti (ADUN).

“Esok (Hari ini) ada satu sidang media dan semua akan saya ulas mengenai keadaan ini,” katanya secara ringkas.

Mesyuarat tertutup di kediaman Mohd Shafie itu dihadiri ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengadakan sidang media di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu dan mendakwa memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan Sabah yang baharu.

Pada sidang media itu terdapat beberapa ADUN Warisan hadir dan menyatakan sokongan kepada Musa.

Tambah Musa, kumpulan yang diketuainya akan bergerak ke Istana Negeri untuk mengemukakan Surat Akuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew mengesahkan kepada portal Malay Mail bahawa Mohd Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

CATEGORIES
TAGS
Share This