Singapura-Indonesia capai persetujuan perjalanan atas urusan perniagaan dan rasmi

Singapura-Indonesia capai persetujuan perjalanan atas urusan perniagaan dan rasmi

SINGAPURA,. Singapura dan Indonesia mencapai persetujuan mengenai isu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua republik itu bagi tujuan urusan perniagaan dan rasmi.

Peraturan RGL yang juga dikenali sebagai Koridor Perjalanan Bisnis (TCA) di Indonesia itu akan mula dilaksanakan pada 26 Okt depan dan perjalananan akan dibenarkan selepas itu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua negara di sini, peraturan berkenaan akan membolehkan perjalanan rentas sempadan di antara kedua-dua negara disambung semula atas urusan perniagaan dan rasmi.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perbualan melalui telefon antara Menteri Luar Negeri Indonesia Retno L.P. Marsudi dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri menekankan mengenai hubungan dua hala yang baik dan perpanjangan antara Singapura dan Indonesia.

“Mereka membincangkan kembali perbualan pada Ogos 2020 mengenai kepentingan memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama dalam menangani cabaran ekoran penularan wabak COVID-19, termasuk membenarkan semula perjalanan rentas sempadan atas urusan penting dan pada masa sama menjamin kesihatan dan keselamatan awam di kedua-dua negara,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa pemohon yang layak untuk RGL atau TCA adalah warganegara Indonesia dan warganegara serta penduduk di Singapura.

Pelawat harus mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19 yang dipersetujui antara kedua-dua negara, termasuk ujian tindak balas rantai polimer (PCR) COVID-19 (PCR) dari institusi kesihatan yang diiktiraf, sebelum dan selepas perjalanan.

Perincian operasi perjalanan berkenaan termasuk keperluan prosedur, protokol kesihatan dan proses permohonan akan diumumkan kelak, menurut kenyataan itu.

Singapura telah melaksanakan peraturan perjalanan khusus dengan beberapa negara dan wilayah termasuk Malaysia, Australia, Brunei Darussalam, China, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Vietnam, bertujuan memudahkan perjalanan serta menjaga kesihatan awam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This