Taufan Hagibis: Dua maut, puluhan yang lain cedera

TOKYO,. Sekurang-kurangnya dua mangsa terkorban manakala tiga yang lain dilaporkan hilang susulan Taufan Hagibis mula membadai Jepun pada Sabtu.

Menurut media antarabangsa, seorang yang maut dijumpai di dalam kenderaan yang dipercayai terbalik akibat angin kencang di Tokyo.

Manakala seorang lagi dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila tanah runtuh di bandar Tomioka.

Setakat ini, 70 orang dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di hospital.

Untuk rekod, Taufan Hagibis yang membawa hujan lebat dan angin kencang membadai kawasan Tokyo, Shizuoka dan bahagian utara Jepun, Chiba.

Hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan kediaman dan amaran tanah runtuh turut dikeluarkan sekitar Tokyo.

Perkhidmatan pengangkutan utama di Tokyo juga terjejas apabila jadual penerbangan dan perjalanan kereta api dibatalkan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.

Di kawasan perairan pasifik, beberapa bot dilaporkan terbalik akibat angin kencang manakala air sungai mengalir deras.

Dalam perkembangan berkaitan, bahagian timur Tokyo digegarkan dengan satu kejadian gempa bumi berukuran 5.7 magnitud pada jam 6.22 petang Sabtu.

Agensi meteorologi negara itu mengesahkan, gempa bumi yang melanda Chiba hampir serentak dengan kehadiran Taufan Hagibis yang mendekati perairan Jepun.

Bagaimanapun, setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )