Thailand akan bawa pulang rakyatnya dari Wuhan pada Selasa

Thailand akan bawa pulang rakyatnya dari Wuhan pada Selasa

BANGKOK,. Thailand bersedia membawa pulang rakyatnya yang berada di Wuhan, China, pusat penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Chanvirakul berkata lapan pegawai perubatan termasuk doktor, pakar epidemiologi, pakar psikiatri dan jururawat akan menaiki pesawat AirAsia Thailand untuk memantau kesihatan mereka.

“Apabila mereka kembali, mereka akan diperiksa dan dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, 106 warga Thailand di Wuhan dan 161 di Wilayah Hubei telah dikenal pasti dengan kira-kira 140 daripada mereka telah mendaftar untuk pulang ke Thailand.

Anutin berkata semua rakyat Thailand yang dibawa pulang akan disaring untuk memastikan mereka bebas gejala 2019-nCoV sebelum menaiki pesawat.

“Sekurang-kurangnya tiga lokasi telah dikenal pasti sebagai pusat kuarantin dan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan memutuskan lokasi terakhir,” katanya.

Ketika ini terdapat 19 kes jangkitan 2019-nCoV disahkan di Thailand. Ini termasuk dua rakyat tempatan dengan jangkitan pertama manusia ke manusia dilaporkan pada 31 Jan apabila seorang pemandu teksi menjadi pesakit pertama jangkitan tempatan.

Setakat ini lapan daripada pesakit telah sembuh dan keluar hospital. Dari 3 Jan hingga 1 Feb jumlah pesakit di bawah siasatan (PUI) meningkat kepada 382 orang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This