Tiga beregu negara mara ke pusingan kedua Terbuka China

KUALA LUMPUR,. Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menampilkan aksi cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou, China, semalam.

Pasangan bukan pilihan itu, bagaimanapun, bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae, 20-22, 21-13, 21-13 pada perlawanan pusingan pertama di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut menjejak kaki ke pusingan kedua selepas menumpaskan gandingan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Savitree Amitrapai, 21-16,19-21, 21-18.

Beregu campuran profesional negara, dan pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas dengan mudah menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won, 21-16, 21-10.

Bagaimanapun, kejohanan bernilai US$1 juta (RM4.182 juta) itu menyaksikan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal melepasi pusingan pertama selepas kalah kepada pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, 14-21,17-21.

Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah turut mengalami nasib sama apabila kalah kepada pilihan kedua dari Taiwan, Tai Tzu Ying, 9-21, 16-21.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )