UniSZA lancar kelab mahasiswa istimewa untuk penuntut OKU

UniSZA lancar kelab mahasiswa istimewa untuk penuntut OKU

KUALA NERUS,. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menubuhkan Kelab Mahasiswa Istimewa UniSZA untuk menjaga kebajikan dan memastikan mahasiswa Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat mengikuti pengajian dengan selamat dan selesa.

Ia susulan penubuhan Unit Perkhidmatan OKU UniSZA pada 1 Okt lepas yang bernaung di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) sebagai antara inisiatif universiti dalam memberi khidmat sokongan khusus kepada mahasiswa OKU.

Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata penubuhan kelab itu juga selaras hasrat Kementerian Pendidikan yang mahu semua universiti di negara ini melaksanakan Dasar Inklusif Orang Kelainan Upaya.

“Apa yang menyentuh hati saya apabila melihat kegigihan mahasiswa ini yang sangat komited dengan pengajian di universiti, sentiasa mempunyai idea dan inisiatif sendiri serta bukanlah dari jenis golongan yang suka menagih simpati atau sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.

“Mereka sangat berdikari sama seperti mahasiswa normal yang lain, jadi UniSZA akan terus menyokong mereka agar mampu terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa seterusnya menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap golongan OKU selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tokoh Siswa UniSZA 2019 dan Pelancaran Unit Perkhidmatan OKU serta Kelab Mahasiswa Istimewa UniSZA di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Kelab OKU UniSZA, Muhammad Aliff Zainuddin berkata penubuhan kelab itu akan memudahkan hasrat dan hak kesemua 46 mahasiswa OKU di universiti itu ketika ini disampaikan secara terus kepada pihak pengurusan universiti.

“Kami akan bersama-sama mewujudkan satu persekitaran inklusif agar UniSZA akan terus menjadi universiti yang mesra OKU dan memberi impak positif kepada jati diri mahasiswa serta imej UniSZA itu sendiri.

“Ketika ini, kami telah merancang pelbagai program di peringkat antarabangsa dan komuniti setempat dan buat permulaan, kami akan mengadakan program Umrah serta kunjungan ke Turki yang melibatkan 25 mahasiswa pada Mac depan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This