WARISAN sedia kerjasama dengan parti baharu Tun M

WARISAN sedia kerjasama dengan parti baharu Tun M

TAWAU,. Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mempunyai masalah menjalinkan hubungan kerjasama dengan semua pihak termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata Warisan bersedia bekerjasama dan mengalu-alukan penubuhan parti baharu itu asalkan apa yang diperjuangkan selaras dengan kehendak kita di peringkat negeri.

“Kita akan meneliti segala bentuk kerjasama, apa yang penting semua hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah menjadi perkara utama.

“Tidak mungkin semasa Tun menjadi perdana menteri kita boleh menjalinkan kerjasama tetapi semasa dia tiada sebarang jawatan kita pula tidak mahu bekerjasama. Saya fikir sikap sedemikian bukanlah suatu nilai yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah di daerah Tawau dan Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini sudah membuktikan kemampuan menjalinkan kerjasama dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggunaan logo semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata perkara itu bukan satu isu kerana yakin dengan penilaian rakyat Sabah yang memilih wakil mereka bukan berdasarkan logo yang digunakan.

“Rakyat Sabah bukan memandang logo parti semata-mata, sebaliknya memilih wakil rakyat daripada parti yang dekat dengan hati mereka,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This