Zimbabwe isytihar Robert Mugabe sebagai pahlawan negara

Zimbabwe isytihar Robert Mugabe sebagai pahlawan negara

HARARE,. Kerajaan Zimbabwe pada Jumaat mengisytiharkan bekas pengasas negara itu dan ikon pembebasan Robert Mugabe sebagai pahlawan negara, lapor agensi berita Zimbabwe New Ziana.

Presiden Emmerson Mnangagwa mengumumkan perkara itu di parlimen dan negara akan berkabung sehingga jasad pemimpin itu dikebumikan.

Mnangagwa berkata perjuangan dan pengorbanan Mugabe amat besar, mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah, justeru beliau berikrar untuk meneruskannya sehingga Zimbabwe mencapai kemakmuran dan menjadi sebuah negara yang kuat serta berkuasa.

Mugabe, 95, meninggal dunia pada Jumaat di sebuah hospital di Singapura, tempat di mana beliau menjalani rawatan.

Beliau memerintah Zimbabwe sejak kemerdekaan negara pada 1980.

Mugabe berkhidmat sebagai presiden negara itu dari 1987 hingga 2017. Sebelum itu beliau memegang jawatan perdana menteri.

Pada November 2017, beliau meletak jawatan selepas menerima tekanan daripada tentera dan parti pemerintah Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe-Barisan Patriotik (ZANU-PF).

Kenya turut mengisytiharkan negara itu akan berkabung selama tiga hari sebagai penghormatan kepada Mugabe.

Mugabe meninggalkan seorang isteri Grace dan tiga orang anak Bona, Robert Jr dan Chatunga.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This