Afrika lepasi puncak pandemik COVID-19

Afrika lepasi puncak pandemik COVID-19

JOHANNESBURG,. Pandemik COVID-19 di Afrika mungkin sudah melepasi puncak, kata Ketua Benua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sambil memberi amaran untuk terus berjaga-jaga bagi mengelak gelombang kedua.

Pengarah Serantau WHO Afrika, Matshidiso Moeti pada satu persidangan dengan Menteri Kesihatan Afrika memberitahu, jumlah kes baharu semakin berkurangan.

“Kita pernah berdepan situasi yang kelihatan seperti waktu puncak, dan sekarang kes harian di seluruh rantau semakin berkurangan,” katanya pada mesyuarat secara dalam talian.

Namun terdapat beberapa negara, seperti Namibia yang masih mengalami pertambahan dalam jumlah kes harian.

Afrika mencatatkan hampir 1.2 juta kes dan sekurang-kurangnya 28,000 kematian sejak virus berkenaan mula dikesan di benua itu pada 14 Februari lalu.

Afrika Selatan merekodkan lebih separuh daripada jumlah itu, dan tampil sebagai negara kelima dunia paling teruk dilanda COVID-19.

Walaupun bilangan kes dan kematian semakin menurun, Menteri Kesihatan, Zweli Mkhize memberi amaran, kebimbangan terbesar adalah ia mungkin sekadar gelombang pertama dan bakal berdepan senario lebih buruk.

“Kita sudah melepasi fasa puncak, tetapi jika anda melihat Sepanyol, keadaan kembali buruk selepas reda untuk tempoh yang agak lama,” katanya pada mesyuarat itu.

Moeti turut memuji pemimpin Afrika kerana membuat keputusan paling sukar, iaitu melaksanakan perintah berkurung ke atas negara dan ekonomi, bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This