AirAsia Malaysia meneruskan pengembangan rangkaiannya di China

AirAsia Malaysia meneruskan pengembangan rangkaiannya di China

KUCHING,. AirAsia Malaysia (AK) meneruskan pengembangan rangkaiannya di China dengan penyambungan semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Shantou bermula 16 Jun dan penerbangan terus baharu dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing) pada 1 Julai tahun ini.

AirAsia dalam kenyataan berkata, perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ke Shantou akan bermula dengan dua penerbangan mingguan pada Jun dan akan ditingkatkan kepada empat penerbangan mingguan pada Julai.

Katanya, AirAsia juga akan terbang dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing) buat kali pertama dengan tujuh penerbangan mingguan.

“Perkhidmatan baharu ini membolehkan AirAsia mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China dengan 47 peratus bahagian pasaran, berikutan penyambungan semula penerbangan ke/dari Macao, Shenzhen, Guangzhou, Nanning, Wuhan dan Kunming oleh AirAsia Malaysia baru-baru ini.

“Pengembangan laluan jarak dekat ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat penerbangan itu untuk menyelaraskan rangkaian antarabangsanya dan melengkapkan laluan jarak sederhana ke Shanghai, Hangzhou dan Beijing (Daxing) oleh AirAsia X Malaysia (D7),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan semula perkhidmatan ke Shantou yang dilancarkan pada 2016.

“Shantou ialah salah satu daripada destinasi yang popular, di mana kami telah menerbangkan kira-kira 340,000 tetamu ke atau dari bandar itu sehingga akhir 2019.

“Selain itu, kami teruja untuk mengumumkan pelancaran laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing), yang menjadikan kami satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan ibu negeri Sabah terus ke ibu negara China,” katanya.

Menurutnya, China sentiasa menjadi salah satu pasaran utama AirAsia.

“Kedua-dua laluan itu akan menyumbang kira-kira 10 peratus kapasiti tambahan kepada rangkaian kami di China, dan kami kekal komited untuk mengembangkan lagi sambungan ke Malaysia, yang merupakan destinasi popular untuk pelancong China.

“Strategi pengembangan kami juga merupakan berita baik untuk sektor pelancongan di Malaysia.

“Pelancaran semula kebanyakan laluan China pada rangkaian kami akan membantu pertumbuhan sektor pelancongan yang merupakan aset penting untuk ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau berharap rangkaian AirAsia yang luas ini akan menyumbang kepada sasaran ketibaan pelancong antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebanyak 16.1 juta tahun ini.

Sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatannya dan pelancaran laluan baharu, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua sehala daripada RM369 dari Kuala Lumpur ke Shantou dan daripada RM459 dari Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing).

Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan mulai semalam hingga 16 April 2023, untuk tempoh perjalanan antara 17 April dan 28 Oktober 2023, di airasia Super App dan airasia.com.

Sebagai sebuah kumpulan, AirAsia terbang ke 35 laluan di China dengan sejumlah 287 penerbangan mingguan dari Malaysia, Thailand dan Filipina pada bulan Mei.

AirAsia juga merancang meningkatkan kekerapan penerbangan mingguan kepada 317 dengan penambahan laluan Kuala Lumpur ke Shantou, Kota Kinabalu ke Beijing (Daxing), Bangkok (Don Mueang) ke Xi’an dan Cebu ke Shenzhen antara bulan Jun dan Julai.

AairAsia kini terbang ke 11 laluan dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Nanning, Macao dan Hong Kong; dari Kota Kinabalu ke Guangzhou, Shenzhen, Wuhan dan Hong Kong; dan dari Johor Bahru ke Guangzhou. AirAsia X Malaysia (D7) terbang tiga laluan dari Kuala Lumpur ke Shanghai, Hangzhou dan Beijing (Daxing).

AirAsia Thailand (FD) kini terbang ke 16 laluan dari Bangkok (Don Mueang) ke Chongqing, Chengdu, Changsha, Hangzhou, Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Wuhan, Nanjing, Macao dan Hong Kong; dari Chiang Mai ke Beijing (Daxing), Changsha, Hangzhou, dan Hong Kong dan dari Phuket ke Hong Kong.

AirAsia X Thailand (XJ) terbang satu laluan dari Bangkok (Suvarnabhumi) ke Shanghai.

AirAsia Filipina (Z2) terbang empat laluan dari Manila ke Guangzhou, Shenzhen, Macao dan Hong Kong.

CATEGORIES
TAGS
Share This