COVID-19: 1,783 maut dalam 24 jam di AS

COVID-19: 1,783 maut dalam 24 jam di AS

WASHINGTON,. Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 1,783 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, berdasarkan perangkaan John Hopkins University sehingga jam 8.30 malam waktu tempatan.

Bagaimanapun, angka kematian itu lebih rendah berbanding tempoh sama sehari sebelumnya iaitu 1,973 orang.

Jumlah keseluruhan kematian di AS akibat virus adalah seramai 16,478, kedua tertinggi di dunia selepas Itali.

Dalam pada itu, New York merekodkan bilangan kes terbanyak di AS semalam, mencatatkan korban harian paling tinggi iaitu 799 kematian tetapi bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital berkurangan.

Gabenor New York, Andrew Cuomo, berkata kematian dalam tempoh 24 jam kelmarin adalah seramai 779 orang, namun semalam angkanya meningkat kepada 799 kematian dalam tempoh sama.

“Pengurangan mendatar pesakit di hospital berlaku kerana langkah-langkah pengasingan sosial.

“Kita menerima kemasukan 200 pesakit iaitu angka terendah sejak igauan buruk ini tercetus, begitu juga bilangan pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

New York paling terkesan dengan pandemik coronavirus dengan merekodkan kira-kira separuh daripada jumlah kematian di AS.

Isnin lalu, Cuomo memperluaskan penutupan sekolah dan perniagaan yang tidak penting sehingga 29 April dalam usaha menghentikan kadar jangkitan yang semakin meningkat.

“Kami akan terus mengurangkan graf jangkitan dan bersedia menghadapi berkemungkinan akan muncul gelombang kedua jangkitan.

“Masih terlalu awal untuk mengumumkan bila bandar akan dibuka semula. Saya menjangkakan mungkin tiga hingga lima minggu lagi, saya tidak tahu, “katanya.

Hospital sementara dibuka di pusat konvensyen di Central Park, selain di kapal tentera dan pusat tenis terbuka AS bagi menampung bilangan pesakit.

Setakat ini, New York mempunyai 90,000 katil rawatan berbanding 53,000 sebelumnya dan kira-kira 18,000 penduduknya dimasukkan ke hospital.

Semalam, jurucakap Gereja St John the Divine di Manhattan, iaitu gereja terbesar di dunia, berkata ia tidak lagi dijadikan hospital lapangan sementara. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This