FIFA syor tangguh perlawanan antarabangsa

FIFA syor tangguh perlawanan antarabangsa

PARIS,. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesyorkan semua perlawanan antarabangsa yang dijadual berlangsung pada Mac dan April ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Badan induk bola sepak dunia itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, berkata tiada sebarang hukuman akan dikenakan sekiranya kelab tidak melepaskan pemain mereka beraksi dalam skuad kebangsaan pada Mac dan April.

FIFA juga memaklumkan, mereka sedang berusaha untuk menyusun semula jadual perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 bagi Zon Asia dan Amerika Selatan yang sudah ditunda.

“Semua perlawanan antarabangsa yang dijadual berlangsung pada Mac dan April seharusnya ditunda sehingga tempoh sesuai yang mana mereka boleh bermain dalam keadaan persekitaran yang selamat,” kata kenyataan itu.

FIFA menambah keputusan akhir terhadap sebarang penundaan perlawanan bagaimanapun terletak di tangan penganjur kejohanan atau persatuan yang membabitkan aksi persahabatan.

Mengikut peraturan FIFA, kelab perlu melepaskan pemain untuk bersama skuad kebangsaan mereka tetapi peraturan itu dimansuhkan untuk sementara itu.

“Berdasarkan situasi semasa susulan penularan COVID-19, FIFA memutuskan peraturan yang mengatakan kelab perlu melepaskan pemain beraksi bersama skuad kebangsaan tidak akan diguna pakai sepanjang Mac dan April,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This