Hitam, putih, kelabu kawasan pilihan raya
PONTIAN,. Untuk mengharungi 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, parti dan calon yang bertanding perlu mempunyai strategi untuk menembusi kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) ‘hitam’ buat mereka dan mencari kawasan ‘putih’, bagi memastikan kemenangan mereka.
Kebiasaannya, kemampuan untuk mengenal pasti kawasan ‘putih’ atau ‘hitam’, malah ‘kelabu’ (kawasan yang boleh dikatakan 50-50 peluang untuk menang) dengan tepat adalah faktor paling penting untuk mencapai kemenangan.
Namun yang menjadi soalan, bagaimana untuk memastikan tafsiran sama ada ‘putih’, ‘kelabu’ atau ‘hitam’ itu dilakukan dengan tepat bagi mendapatkan gambaran realiti sebenar, dan cara mengubah warna kawasan itu.
Setiap parti mempunyai strategi masing-masing dalam mengenal pasti kawasan dan ini sebenarnya telah lama digunakan, boleh dikatakan dilakukan oleh hampir semua parti politik.
Seorang petugas jentera Pakatan Harapan (PH) Azlina Mehtab Mohd Ishaq berkata pendekatan yang digunakan pihaknya adalah dengan membawa borang culaan (kaji selidik) dan mengedarkan mini brosur berkaitan calon di lokasi yang telah ditetapkan selain mendapatkan maklum balas dari penduduk serta masyarakat setempat.
“Ada yang menyambut kami dengan hati terbuka, tersenyum ajak bersembang. Ada yang tutup pintu. Ada yang penuhkan pagar rumah dengan bendera parti pilihan masing-masing. Macam-macam ragam ada (untuk mendapat gambaran sokongan yang cenderung ke arah mana),” katanya kepada Bernama.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, ada beberapa kawasan PDM semakin bertambah baik dari segi respons melalui strategi rumah ke rumah, ceramah kelompok untuk semua jenis kaum, agama dan bangsa selain penggunaan poster menarik.
“Kita terangkan pentingnya untuk keluar mengundi, balik mengundi kalau ada di luar kawasan khasnya kepada pengundi muda. Ada respons bagus, kurang baik. Apa sahaja respons yang diterima, PH perlu bekerja keras,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata ada pelbagai cara yang digunakan dan yang telah dirancang kepimpinan parti dalam soal warna kawasan ini, antaranya menggunakan lenggok bahasa tempatan, mengikuti rapat budaya dan makanan mereka.
“Kalau boleh ngomong Jawa, ngomong. Kalau ada di kedai Cina, ajak sembang, minum teh. Pengundi di Tanjung Piai macam-macam. Jadi kena ada pelbagai strategi,” katanya.
Strategi yang dinyatakan itu jelas kelihatan dalam ceramah dan kempen turun padang ??????Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendekati orang kampung dengan lenggok tutur loghat Negeri Sembilan selain pendekatan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang menggunakan perkataan seperti InsyaAllah ketika mendekati pengundi.
Bagi Wendy Subramaniam, calon Gerakan yang cuba mencabar dua parti yang dianggap besar dalam politik tanah air iaitu PH dan BN, beliau cuba menembusi kawasan PDM hitam atau kelabu dengan mendekati masyarakat di kopitiam dan pasar awam seawal pagi lagi.
“Saya tidak menggunakan kecantikan seperti yang didakwa sebelum ini. Saya lebih suka mendekati pengundi dan mendengar masalah mereka sebagai kuasa ketiga selain PH dan BN,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Mohd Akbal Abdullah berkata jenis kawasan diklasifikasikan mengikut pola pengundi adalah berdasarkan isu semasa, setempat, parti atau pemimpin pilihan masing-masing.
Jelasnya, isu-isu yang muncul sebelum kempen akan jadi tumpuan pengundi dan masyarakat di dalam mana-mana PDM untuk membuat keputusan dan pilihan yang antara lain akan dibantu atau dipengaruhi dengan kempen jentera parti bertanding.
“Pengundi semakin bijak dan tahu apa nak buat. Warna PDM itu akan terbentuk sendiri. Perlu ada pendekatan yang berbeza. Kalau kawasan itu putih, jentera perlu menambah penyokong parti bagi terus menambat hati masyarakat. Kalau kawasan itu kelabu, kena ada lebih banyak penerangan tentang pendirian parti tentang isu-isu semasa agar pengundi jelas dan tidak tersilap persepsi atau pemahaman mereka.
“Kalau kawasan itu hitam, rasanya kena lebih kerja keras, berani ambil risiko untuk masuk (berkempen) atau abaikan sahaja. Semuanya bergantung kepada usaha dan bergerak dalam isu semasa, bukan sembrono. Sesuatu kawasan itu, tidak mutlak selama-lamanya, bergantung kepada usaha selama dua minggu ini,” katanya.
PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Wee yang mewakili BN, Wendy (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas. Pengundian akan dijalankan Sabtu ini.
— BERNAMA???????