Ingkar PKP: Dua Majikan, Enam Pekerja Ditahan

Ingkar PKP: Dua Majikan, Enam Pekerja Ditahan

LAHAD DATU,. Padah ugut potong gaji, dua majikan yang juga adik beradik berumur 47 dan 50 tahun ditahan selepas enam pekerjanya dikesan bekerja di Jalan Dam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tindakan majikan itu melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Terdahulu, sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah bengkel perkakasan besi di lokasi kejadian sebelum mendapati enam lelaki bersama dua majikan sedang bekerja di dalam premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bengkel itu sudah beroperasi sejak enam hari lalu iaitu pada 23 Mac lalu, selepas enam hari pelaksanaan MCO,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Tambah Nasri, pekerja terbabit mendakwa menerima arahan daripada majikan yang mengkehendaki mereka bekerja bagi mengelak gaji dipotong.

“Sehubungan itu, polis menahan kedua-dua majikan itu untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan enam pekerja terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga negara Indonesia berumur antara 19 hingga 37 tahun,” katanya.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Menurut Nasri, dengan penahanan individu terbabit, ia menjadi pengajaran kepada semua penduduk di daerah tersebut agar tidak memandang ringan arahan MCO yang ditetapkan. – BORNEO TODAY

CATEGORIES
TAGS
Share This