Internet berkualiti luar bandar tahun depan

Internet berkualiti luar bandar tahun depan

KUALA LUMPUR,. Bermula Februari tahun depan, pengguna internet luar bandar boleh menikmati sambungan digital berkualiti tinggi pada harga mampu milik apabila fasa pertama projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 1) di beberapa negeri mulai siap.

Empat syarikat diberikan mandat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiapkan projek membabitkan kos RM290 juta di 152 tapak seluruh negara bagi menghasilkan kelajuan purata jalur lebar 30 megabait sesaat (30 Mbps).

Apabila disiapkan sepenuhnya, NFCP 1 akan meningkatkan liputan selular kepada 95 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia menjelang 2023.

Edotco Malaysia Sdn Bhd (Edotco) dan FGV Prodata Systems Sdn Bhd (Prodata) dianugerahkan bahagian pertama projek NFCP 1 dengan skop membekal, menyiap dan memasang menara serta sokongannya, bagi tujuan menyediakan perkhidmatan selular awam.

Edotco akan memberikan perkhidmatan itu di 113 tapak atau 75 peratus daripada jumlah projek tapak keseluruhan, manakala FGV Prodata pula di 39 tapak atau 25 peratus.

Bahagian kedua projek NFCP 1 dengan skop mereka bentuk, membekal, memasang, menguji dan mengendalikan rangkaian perkhidmatan pula dianugerahkan kepada Maxis Broadband Sdn Bhd dengan 102 tapak atau 67 peratus, manakala U Mobile Sdn Bhd sebanyak 50 tapak atau 33 peratus.

Sebanyak 152 tapak seluruh negara bagi projek NFCP 1 merangkumi lapan negeri dengan 93 mukim iaitu di Sabah (50 tapak); Pahang (28 tapak); Kelantan (18 tapak); Johor (13 tapak); Terengganu (13 tapak); Kedah (10 tapak); Negeri Sembilan (10 tapak) dan Perak (10 tapak).

MCMC berkata, suruhanjaya itu menyasarkan 147 tapak siap berkenaan sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan pada Februari 2021 dan mula memberikan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada Februari 2022, MCMC berkata ia menjangkakan lima lagi tapak akan disiapkan di kawasan yang benar-benar terpencil dan mencabar untuk dipasang infrastruktur.

“Infrastruktur tapak projek ini adalah bersifat perkongsian, yang mana pembida yang berjaya dikehendaki meletakkan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) untuk sekurang-kurangnya empat pengendali mudah alih.

“Apabila ia disiapkan kelak, pembekal perkhidmatan yang berjaya mesti memastikan penghantaran kelajuan purata jalur lebar 30 Mbps untuk ‘downlink’ dan 10Mbps untuk ‘uplink’,” katanya.

MCMC berkata, NFCP 1 adalah salah satu inisiatif berasaskan infrastruktur yang dikenal pasti selaras dengan NFCP, yang bertujuan memantapkan sambungan digital secara meluas, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki.

Katanya, tujuan projek ini adalah menyediakan perkhidmatan selular awam (perkhidmatan 3G dan 4G) di kawasan yang tidak mempunyai liputan atau terhad.

“NFCP 1 akan menyumbang ke arah matlamat meningkatkan liputan sebanyak 0.1 peratus di kawasan berpenduduk, dan juga akan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar dengan menyediakan kelajuan purata 30Mbps,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This