Itali mungkin ikut jejak Perancis, Belanda

Itali mungkin ikut jejak Perancis, Belanda

MILAN,. Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora memberi amaran semalam bahawa Itali mungkin akan mengikut jejak langkah Perancis dan Belanda menamatkan musim bola sepak dan sukan kerana pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina memberi amaran bahawa keputusan berkenaan akan menandakan “kematian buat bola sepak Itali.”

“Saya melihat laluan semakin sempit untuk meneruskan saingan. Jika saya presiden kelab bola sepak, saya pasti akan memikirkan untuk kembali memulakan saingan yang sepatutnya bermula pada hujung Ogos,” kata Spadafora kepada televisyen Itali, channel La 7.

“Keputusan diambil negara lain seperti Perancis semalam, boleh memberi tekanan buat Itali untuk mengikutnya, yang mungkin menjadi ikutan di Eropah,” katanya.

“Saya rasa mesyuarat Lega Serie A seterusnya mungkin akan menghadirkan kejutan,” kata Spadafora dengan kelab utama Itali akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

“Majoriti kelab boleh meminta kami menggantung musim ini dan bersedia untuk kejuaraan seterusnya dengan sebaik mungkin.”

Gravina bagaimanapun memberi amaran semalam bahawa dia “tidak akan menandatangani sebarang usaha menamatkan saingan” yang akan menjadi “kematian buat bola sepak Itali.” – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This