Jangkitan influenza di Johor terkawal – Pengarah kesihatan

Jangkitan influenza di Johor terkawal – Pengarah kesihatan

JOHOR BAHRU,. Kes jangkitan influenza di Johor masih terkawal dan tidak menunjukkan wabak, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Aman Rabu.

Beliau berkata pemantauan bagaimanapun masih tetap dijalankan bagi memastikan keadaan terkawal itu berterusan.

“Setakat ini tidak ada wabak. Influenza terdapat banyak jenis iaitu A, B dan C tetapi kita tidak spesifik untuk satu-satu influenza sahaja untuk dipantau.

“Pemantauan kita menyeluruh selagi ia melibatkan penyakit pernafasan dan selesema,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Dr Aman ditemui selepas menyertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar melakukan Ops Penguatkuasaan Larangan Merokok di beberapa buah kedai makan di Bandar Baru Uda.

Semasa ditanya sama ada pihaknya ada merekodkan kes wabak penyakit yang melanda China ketika ini, Dr Aman berkata tiada laporan diterima setakat ini.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya telah membuat saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi mengenal pasti pelancong atau individu dari negara berkenaan yang mempunyai simptom demam.

“Sekiranya ada (kes individu mempunyai simptom), kita buat siasatan lanjut dan kuarantin sekiranya perlu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This