Pasaran getah bakal saksi dagangan lengang minggu depan

Pasaran getah bakal saksi dagangan lengang minggu depan

KUALA LUMPUR,. Pasaran getah Malaysia dijangka lengang pada minggu pertama bulan Februari berikutan ketiadaan peserta dari China kerana cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga akan menjejaki prestasi ringgit, pasaran hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah.

“Pengendali pasaran juga akan memantau Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan rasmi China yang akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai pergerakan pasaran sepanjang minggu, pasaran ditutup bercampur-campur, mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur pasaran niaga hadapan getah serantau.

Berdasarkan perbandingan mingguan, harga rujukan getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 merosot 16.5 sen kepada 719 sen sekilogram (kg) manakala susu getah pukal menambah 3.5 sen kepada 589.5 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang Jumaat, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 719 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 589 sen sekilogram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This