Sabah sedia buka semula aktiviti mendaki mulai 7 Dis – Masidi

Sabah sedia buka semula aktiviti mendaki mulai 7 Dis – Masidi

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah (TTS) bersedia untuk membuka semula aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu secara berperingkat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat mulai 7 Dis ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata sebagai permulaan, kapasiti pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah ditetapkan pada satu-satu masa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kerajaan negeri melalui TTS sedang bersiap sedia untuk membuka semula pintu taman kendalian agensi itu secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan SOP ketat mulai 7 Dis ini termasuk aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

“TTS sedang dalam peringkat untuk menentukan SOP yang akan diguna pakai apabila aktiviti pendakian dibenarkan secara rasmi,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Masidi berkata kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan COVID-19 di Sabah sama ada meneruskan atau tidak PKPB itu yang dijadual berakhir 6 Dis ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membuat penilaian dan analisis mengenai situasi semasa COVID-19 di Sabah dan memberi nasihat berhubung perkara tersebut kepada kerajaan negeri.

“Keputusan sama ada melanjutkan, menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan yang lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sementara itu, Masidi turut memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Penjara Sandakan, Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon di Kota Belud ditamatkan mulai esok.

Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, mesyuarat khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di kawasan terbabit seperti mana dijadualkan, katanya.

Mengenai pengagihan bakul makanan, Masidi berkata kerajaan Sabah sehingga kini telah mengagihkan sebanyak 264,031 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh daerah.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya dalam kenyataan berasingan berkata sebanyak 3,151 bakul makanan diagihkan hari ini melibatkan 19 daerah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )