Untung pracukai segmen gudang, logistik Tiong Nam melonjak kepada RM10.8 Juta

Untung pracukai segmen gudang, logistik Tiong Nam melonjak kepada RM10.8 Juta

KUALA LUMPUR,. Keuntungan sebelum cukai bagi segmen perkhidmatan gudang dan logistik utama Tiong Nam Logistics Holdings Bhd melonjak 400.2 peratus kepada RM10.8 juta pada suku keempat berakhir 31 Mac, 2020 daripada RM2.2 juta bagi suku yang sama setahun lepas.

Syarikat logistik bersepadu itu berkata prestasi tersebut dipacu oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan gudang serta penghantaran lebih tinggi bagi produk penting iaitu makanan dan minuman, barangan pengguna serta bekalan peralatan perubatan.

“Ini telah membantu mengurangkan kesan penurunan keseluruhan bagi aktiviti perniagaan serantau dan domestik berpunca daripada pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” kata Pengarah Urusan, Ong Yoong Nyock dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rangkaian gudang yang pelbagai dan model perniagaan bersepadu syarikat di seluruh Malaysia meletakkan Tiong Nam pada kedudukan memberangsangkan dalam menangani cabaran yang tidak pernah wujud sebelum ini susulan langkah membendung COVID-19.

“Walaupun prestasi segmen perkhidmatan logistik dan gudang meningkat, kami menyedari sekarang bukan waktu untuk berasa selesa, dan berpendapat sektor logistik akan kekal tidak menentu di peringkat rantau dan domestik.

“Penghantaran untuk pelanggan melonjak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei, dan operasi kami mampu mengendalikan aktiviti yang semakin meningkat, yang akan membantu mengekalkan prestasi kami dalam melangkah maju,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This