Sarawak peruntuk RM70 juta untuk tukun tiruan pulihara ekosistem marin

Sarawak peruntuk RM70 juta untuk tukun tiruan pulihara ekosistem marin

KUCHING,. Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM70 juta kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk melaksanakan Projek ‘Sarawak Reef Ball’ (SRBP) sebagai sebahagian inisiatif pemuliharaan marin.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi SFC Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata projek yang bermula pada 2018 itu bermatlamat melabuhkan 17,200 tukun tiruan sepanjang garis pinggir laut, meliputi Tanjung Datu di selatan hingga ke Lawas, iaitu daerah paling utara di Sarawak.

“Ini akan meningkatkan sumber marin, sekali gus menambah baik pendapatan masyarakat setempat, selain melindungi kawasan perikanan mereka daripada kegiatan pukat tunda haram,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SFC bersempena program letak atur 1,200 tukun tiruan oleh beliau di perairan Muara Tebas-Sebuyau dekat sini.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton.

“Projek Sarawak Reef Ball merupakan program pemuliharaan teladan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada hidupan dan ekosistem marin, khususnya penyu, tetapi turut berjaya menambah baik kehidupan nelayan setempat,” kata Abang Johari.

Beliau berkata kejayaan projek itu boleh dilihat di perairan Sematan di selatan Sarawak serta Belawai di wilayah tengah yang menyaksikan jumlah tangkapan hasil laut meningkat selepas tukun tiruan dilabuhkan.

Setakat ini SFC telah melabuhkan masing-masing 600 tukun tiruan di perairan Belawai-Paloh dan Lawas, serta 1,200 di perairan Igan-Mukah, sementara kerja-kerja meletak terumbu tiruan ini di Muara Tebas-Sebuyau dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This