SEA selar pengeluaran lesen import minyak sawit ditapis

SEA selar pengeluaran lesen import minyak sawit ditapis

NEW DELHI,. Kumpulan perdagangan India yang mewakili pengimport minyak sayur pada Khamis menyelar kerajaan kerana mengeluarkan lesen untuk mengimport minyak sawit yang ditapis dengan menyatakan bahawa ia tidak selari dengan objektif yang ditetapkan bagi pesanan bulan lalu yang menyekat import olein sawit RBD.

Merujuk kepada laporan media bahawa Direktorat Awam Perdagangan Luar Negara (DGFT) Kementerian Perdagangan India telah mengeluarkan permit untuk mengimport 1.1 juta tan olein sawit RBD, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai, India meminta agar satu kajian dilakukan mengenai rasional untuk mengeluarkan lesen tersebut yang bertentangan dengan matlamat negara India untuk menyokong kilang penapis tempatan.

“Kami kecewa dengan tindakan ini yang berpotensi memusnahkan industri penapisan sawit di negara ini,” kata SEA dalam satu kenyataan.

Ia berkata dengan tanaman sawi secar besar-besaran yang sudah siap untuk penuaian import minyak sawit yang ditapis akan menekan harga bijian minyak domestik dan mungkin menyebabkan kerajaan mempunyai stok yang banyak.

India bergantung kepada import untuk 70 peratus keperluan minyak masak dan minyak kelapa sawit dari Indonesia dan Malaysia merupakan dua pertiga daripada import tahunannya sebanyak 15 juta tan.

Lesen import baharu itu dilaporkan untuk olein sawit RBD dari Indonesia.

India mengimport 594,804 tan minyak sawit pada bulan Januari, hampir kurang 20 peratus daripada jumlah bulan Disember.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This