Tiada kes baharu Liga Perdana Inggeris
LONDON,. Liga Perdana Inggeris yang akan kembali pada 17 Jun mendapat semangat baharu apabila tiada kes positif dalam ujian saringan terkini COVID-19.
Seramai 1,195 pemain dan kakitangan kelab diuji dalam saringan keenam yang dilakukan pada Khamis dan Jumaat.
“Liga Perdana boleh mengesahkan yang pada Khamis 4 Jun dan Jumaat 5 Jun, seramai 1,195 pemain dan kakitangan kelab diuji untuk COVID-19. Daripada ujian ini, tiada keputusan positif,” umum Liga Perdana Inggeris semalam.
Ini bermakna hanya 13 kes positif daripada keseluruhan 6,274 ujian dijalankan ke atas pemain dan kakitangan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris.
Ujian akan terus dijalankan setiap dua minggu dalam usaha menyempurnakan saingan liga yang tertangguh sejak Mac akibat pandemik berkenaan. – AFP