Warga Malaysia ditahan cuba seludup kanabis ke Singapura

Warga Malaysia ditahan cuba seludup kanabis ke Singapura

SINGAPURA,. Pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki warga Malaysia berumur 24 tahun yang dikatakan cuba menyeludup masuk enam bungkusan berisi kanabis ke negara itu, semalam.

Pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam satu kenyataan berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 7.15 pagi, apabila pegawai ICA mengarahkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia menjalani pemeriksaan lanjut di pusat pemeriksaan Tuas, selepas mendapati pemandunya kelihatan benar-benar cemas.

Susulan pemeriksaan, pegawai ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura menemui bungkusan kanabis tersembunyi di beberapa bahagian kereta berkenaan.

“Keseluruhan enam bungkusan itu dianggar seberat 2.35 kilogram, dengan nilai sekitar S$27,000,” kata ICA dan CNB dalam kenyataan itu.

Menurutnya, lelaki warga Malaysia itu ditahan dan kes diserahkan kepada CNB untuk siasatan lanjut.

Katanya, kanabis itu dianggarkan cukup untuk bekalan ketagihan 340 pengguna bagi tempoh seminggu.

Kanabis adalah dadah terkawal Kelas A yang disenarai di bawah Akta Salah Guna Dadah Singapura, yang mana pemilikan, penggunaan, edaran, import dan eksport sebarang dadah terkawal adalah satu kesalahan di bawah akta berkenaan. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This