Kastam patah cubaan edar dadah bernilai RM1 juta

Kastam patah cubaan edar dadah bernilai RM1 juta

NILAI,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar 28 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1 juta hasil serbuan di Puchong, Selangor pada 13 September lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam menahan sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel yang dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, semasa pemeriksaan itu, pemandu kereta bertindak memecut kereta dan melanggar kenderaan pegawai kastam sebelum kedua-dua mereka keluar melarikan diri apabila tiba di tengah jalan di Jalan Bandar, Puchong.

“Bagaimanapun, anggota kastam berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan itu menemukan dua beg galas di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih dadah jenis methamphetamine dengan kereta berkenaan disyaki hasil curi,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

Abdul Latif berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam beg yang diletakkan dalam bonet kenderaan selain menggunakan kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu serta sentiasa menukar kenderaan lain bagi mengelakkan mereka dikesan.

Beliau berkata siasatan juga mendapati bekalan dadah itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

Susulan kes berkenaan, beliau berkata empat lagi lelaki dalam lingkungan 27 hingga 31 tahun termasuk seorang yang melarikan diri semasa serbuan pertama turut ditahan di lokasi berasingan Isnin lepas.

“Dua ditahan di Gua Musang, Kelantan, seorang di Klang, Selangor dan seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik JKDM di sini, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, suspek pertama warga Indonesia direman 14 hari bermula 14 September mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama manakala permohonan reman turut dibuat terhadap empat suspek lain bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM merampas sebanyak 16,000 kg dadah jenis amphetamine membabitkan nilai berjumlah RM5.2 bilion, methaphetamine, 624 kg (RM22.5 juta), ketamin 2.6 kg (RM124,160), heroin 3.9 kg (RM337,569) sejak Januari lepas.

Jelasnya, bagi rekod penahanan pula, sehingga kini 14 orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan tujuh orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )