Kes pertama koronavirus babitkan rakyat Thailand dilaporkan

BANGKOK,. Thailand mengesan empat kes koronavirus termasuk seorang wanita warga tempatan, kata pihak berkuasa kesihatan hari ini.

Wanita berusia 73 tahun itu pernah melawat Wuhan, China di mana penularan virus itu bermula, mengalami demam selepas kembali ke Thailand. Beliau adalah pesakit pertama di negara ini yang didiagnosis dengan koronavirus.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata empat pesakit (tiga warga China dan seorang Thailand) pergi ke Wuhan dan menunjukkan gejala demam serta masalah pernafasan.

“Pesakit warga Thailand itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Nakhon Pathom, kira-kira 60 km dari Bangkok. Keadaannya bertambah baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 12 Jan, Thailand mengesahkan kes pertama koronavirus membabitkan seorang pelancong wanita berusia 61 tahun dari bandar Wuhan yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan virus sejurus tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Anutin berkata dua pesakit warga China telah dibenarkan keluar hospital sementara pesakit ketiga akan dibenarkan pulang sebaik keputusan ujian makmal mengesahkan beliau bebas daripada jangkitan.

“Tiada kes jangkitan antara manusia kepada manusia di Thailand,” katanya.

Setakat ini sembilan orang maut di China dengan 440 orang telah dijangkiti.

Thailand telah meningkatkan pemantauan dan pengawasan di lapangan terbangnya terutama penerbangan terus dari Wuhan, berikutan cuti Tahun Baru Cina minggu ini, menyaksikan ribuan pelancong China dijangka mengunjungi Thailand.

Dari 3 hingga 20 Jan, seramai 18,383 penumpang dan anak kapal dari 116 penerbangan menjalani saringan kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Jabatan Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah meningkatkan operasi pusat kecemasan pada Tahap Dua untuk menjalankan pemantauan dengan lebih teliti dan berterusan di semua peringkat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )